APA ITU PANTUN ?
Pantun ialah bentuk puisi Melayu
yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di
Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan
sosialnya. Akal budi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan
secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan
dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta
lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.
Pantun wujud dalam pelbagai
bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke
pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan
masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam
percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt.
Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga
ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.
Pantun merupakan sastera lisan
yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan
diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada
akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek
Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan
bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah
manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden,
Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad
ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda,
dan Jerman.
Dapat disebutkan bahawa pantun
ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk
ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang
Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos,
Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di Eropah dan Amerika telah menarik
perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam
kesusasteraan Barat mulai abad ke-19.
Kini pantun telah berjaya
menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang
sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki
di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan bengkel tentangnya juga terus
diadakan
Penerangan yang jelas. Tahniah. Selamat Maju Jaya. Jenguk la blog akak pulak. Tq ye....
BalasPadamBaru sekarang tahu apa itu pantun dan fungsinya...
BalasPadam